Senaman ini bagus untuk mendapatkan punggung yang bulat dan menguatkan otot paha serta pinggul. Ia juga mampu memperkuatkan otot di bahagian perut. Walaupun pergerakan lebih tertumpu pada bahagian kaki, squat juga menggalakkan pertumbuhan otot di seluruh tubuh badan. Senaman ini begitu intense sehingga mewujudkan rembesan hormon-hormon yang begitu penting untuk pertumbuhan otot tisu.

Kebaikan squat juga merangkumi pada postur. Squat adalah cara yang bagus bukan sahaja untuk memperbaiki postur, tetapi juga untuk membina keseimbangan yang lebih baik. Ia turut membantu menguatkan otot belakang, sekaligus mengelakkan sakit belakang disebabkan oleh duduk di kerusi terlalu lama.

Selain membina otot dan melancarkan peredaran darah, senaman squat turut membakar kalori. Senang kata, squat adalah satu senaman komprehensif bagi mengekalkan kesihatan, dan pada masa yang sama menurunkan berat badan. Seluruh tubuh akan menjadi cergas!