Utusan Malaysia Kesihatan: Rawat Pigmentasi, Rangsang Kolagen

ARKIB : 18/09/2011
SEMUA wanita inginkan wajah yang sentiasa kelihatan muda. Tiada siapa ingin kelihatan tua. Apa yang sebenarnya menyebabkan wajah kelihatan tua? Cuba lihat gambar semasa kita muda kemudian bandingkan dengan wajah sekarang. Mungkin banyak perubahan yang anda lihat. Dua perubahan paling ketara yang boleh membuat wajah nampak lebih tua adalah kehadiran pigmentasi pada wajah dan kedut-kedut muka. Print

Tahukah anda, dengan merawat masalah jeragat, anda boleh kelihatan lebih muda lima ke 10 tahun. Masalah pigmentasi yang sering berlaku di kalangan wanita Melayu berusia selepas 30-an adalah melasma.

Apakah itu melasma , masih belum di ketahui dengan jelasnya. Namun begitu ada beberapa perkara yang dikaitkan dengan melasma antaranya kehamilan, pil perancang dan pil gantian hormone menopaus. Melasma yang disebabkan perubahan hormon boleh hilang dengan sendiri beberapa bulan selepas kelahiran atau apabila seseorang berhenti mengambil pil-pil hormon tersebut. Faktor lain yang menyebabkan melasma adalah pendedahan kepada sinaran UV yang kronik atau komplikasi kepada salah penggunaan bahan kosmetik. Melasma yang disebab kan faktor ini agak sukar dirawat .

Melasma adalah longgokan pigmen kulit sama ada di lapisan epidermis (lapisan atas), dermis (lapisan bawah kulit) atau kedua-duanya. Setakat ini tiada barangan kosmetik atau barangan penjagaan kulit di pasaran yang boleh merawat melasma.

Satu-satunya langkah pencegahan yang paling berkesan adalah penggunaan pelindung mata hari. Melindungi kulit daripada sinaran UV memang boleh mengelakkan melasma. Sebilangan besar kes melasma adalah disebabkan tiada perlindungan kulit muka terhadap sinaran UV matahari. Namun begitu jika anda sudah mempunyai melasma,sunblock
tidak boleh membantu menghilangkannya. Ia hanya boleh mengelakkan melasma merebak, walaupun krim anda mengandungi bahan pencerah.

Masalah melasma hanya boleh dirawat oleh doktor pakar kulit atau doktor estetik. Jika anda mempunyai masalah melasma , janganlah membuang masa dan wang membuat rawatan facial kerana tanpa rawatan profesional, masalah anda tidak boleh di atasi. Setakat ini masih belum ada lagi bahan kosmetik atau krim penjagaan kulit di pasaran yang boleh merawat melasma.

Untuk mengenalpasti sama ada melasma anda jenis epidermal , dermal atau campuran, doktor boleh melakukan ujian “woodlights”. Apabila kulit disinari dengan lampu woodlights, doktor akan dapat membezakan samaada melasma atau jeragat anda adalah jenis di permukaan kulit , dalam kulit atau kedua-dua nya.

Untuk merawat melasma jenis epidermal (lapisan atas) kulit, doktor boleh melakukan chemical peeling dan merawat dengan krim hydroquinone dan tretinoin. Kedua-dua bahan seperti hydroquinone dan tretinoine adalah bahan aktif berjadual dan hanya boleh digunakan dengan pengawasan doktor. Manakala di klinik estetik , doktor juga boleh merawatnya dengan rawatan “Intense Pulse Light” atau rawatan laser.

Namun begitu kebanyakan melasma yang dialami oleh wanita adalah dari jenis dermal (lapisan bawah ) kulit atau melasma campuran (epidermal dan dermal) kulit. Melasma jenis ini sangat degil dan susah dirawat kerana kedudukannya di bawah kulit.

Untuk merawat masalah melasma jenis dermal atau campuran agak sukar. Rawatan dengan menggunakan hydroquinone dan tretinoine tidak dapat menghilangkannya. Masalah melasma jenis campuran ini hanya berkesan dengan rawatan laser Q Switched Nd:Yag .

Secara umumnya, seseorang pesakit perlu menjalani 10 hingga 12 sesi rawatan laser untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Laser ini berkesan dengan “menghancurkan” pigmen hitam. Pigmen yang hancur akan diserap perlahan-lahan oleh badan. Namun begitu proses menghancurkan pigmen perlulah dilakukan berperingkat-peringkat agar tiada kesan sampingan ke atas kulit yang menerima rawatan laser. Kelebihan rawatan laser juga adalah ia boleh meresap jauh ke lapisan dermis kulit. Hanya laser Q switched sahaja yang boleh menyerap lapisan dalam kulit dan memecahkan pigmen tanpa merosakkan lapisan atas kulit.

Selain merawat melasma, rawatan yang berulang juga boleh merangsang kulit untuk menghasilkan kolagen. Peningkatan kandungan kolagen di lapisan kulit boleh menghilangkan atau mengurangkan garis-garis halus serta mengecilkan pori-pori muka.

 

Penggunaa Sunblock Untuk Mengekalkan Kandungan Kologen

Ingin saya tekankan bahawa rawatan yang paling berkesan adalah pencegahan. Ramai wanita Melayu tidak menggunakan sunblock . Sunblock sepatutnya digunakan sejak remaja. Jika anak anak anda menggunakannya dari muda, ia bukan sahaja boleh mengelak masalah pigmentasi di hari tua, malah mengekalkan kandungan kolagen daripada dirosakkan oleh UV matahari. Kandungan kolagen yang tinggi di kulit muka boleh melambatkan proses penuaan wajah. Untuk kulit wanita Asia dan keadaan matahari yang terik di Malaysia, saya mencadangkan penggunaan sunblock dengan SPF 35 dan ke atas.

Akhir sekali, anda tidak perlu malu menggunakan payung jika berjalan di tengah panas walaupun untuk seketika. Ingat pencegahan adalah rawatan terbaik untuk kekal kelihatan muda dan jelita.

PENULIS boleh dihubungi di 09-5164777.

Save